KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tampil dengan satu kenyataan rasmi bagi menjelaskan status sebenar penahanan dalang utama di sebalik sindiket penipuan pelaburan matawang kripto Gigamax.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, gesaan itu dibuat susulan laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina yang memaklumkan berkaitan penahanan tiga individu terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 6 Mei lalu.
Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, sehingga kini, belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak polis sama ada ketiga-tiga dalang utama penipuan tersebut telah ditahan atau sebaliknya.
“Adakah suspek-suspek ini direman? Jika direman, di manakah mereka direman? Berapa hari direman? Adakah reman itu masih ada? Adakah ada bantahan terhadap reman tersebut? Ataupun mereka dibebaskan atas jaminan polis?
“Mungkin ada pihak yang bertanya, mengapa kita nak ambil tahu siasatan polis? Kerana kita mewakili pengadu-pengadu yang berjumlah 99 orang dan RM4.8 juta kerugian. Sudah tentulah kita mempunyai hak untuk mengetahui di manakah suspek-suspek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan surat mohon perkembangan dan status terkini mengenai dakwaan tangkapan tiga suspek berkaitan kes Gigamax di KLIA di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di sini, hari ini.
Tambah beliau, ramai mangsa kini hidup dalam tekanan kewangan selepas mengalami kerugian yang mencecah jutaan ringgit, dan perkembangan kes Gigamax memberi kesan langsung terhadap emosi serta psikologi mereka.
“Jadi amatlah kita berharap kepada pihak JSJK untuk menjawab surat kami ini supaya kami dapat menjawab kepada pengadu-pengadu yang ada. Pengadu-pengadu berhak untuk mendapat maklum balas daripada keputusan siasatan kerana itu berada di dalam Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Sementara itu, seorang pengadu dikenali sebagai Aishah, 60, menggesa agar PDRM dapat menjelaskan persoalan yang mengganggu jiwanya dan mangsa-mangsa lain berkaitan kesahihan berita seperti dilaporkan akhbar tempatan tersebut.
“Tidak ada sebarang statement (kenyataan) daripada PDRM yang mengatakan ketiga-tiga suspek ini ditahan. Yang kita tahu daripada (sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina) mereka ditahan di KLIA. PDRM tak bagi apa-apa kenyataan.
“Ini masalah dia. Kalau kata untuk kenyataan yang tak benar, kena cakap lah tak benar. Kita minta maklum balas. Maklum balas, sebab tiga suspek ni, tiga suspek utama. Orang tipu ratusan juta, tak akan nak biar mereka,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, sebuah laporan akhbar tempatan berbahasa Cina mendakwa tiga dalang utama itu ditahan di KLIA oleh pasukan polis selepas melarikan diri ke luar negara selama lima bulan.
Lapor akhbar itu lagi, kesemua mereka ditahan sekitar pukul 10 pagi dan pasport serta telefon bimbit ketiga-tiga individu itu dirampas untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, polis memaklumkan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Awaludin dipercayai dalang utama sindiket penipuan pelaburan Gigamax dikesan bersama enam individu lain dengan mengakibatkan kerugian mencecah lebih RM7.25 juta dengan 101 laporan diterima pihaknya setakat Disember lalu. – https://amiminerals.org/