BACHOK – Suami kepada pemilik spa yang disimbah asid di Beris Kubur Besar pada Sabtu lalu percaya ada suspek lain yang terlibat dalam kejadian yang menyebabkan kecederaan parah pada bahagian belakang dan lengan isterinya.
Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, penangkapan seorang wanita yang merupakan pekerja kilang getah semalam berkemungkinan untuk membantu siasatan awal pihak polis bagi mengesan suspek lain dalam kes tersebut.
Menurutnya, justeru, dia berharap pihak polis dapat mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
“Meskipun polis menahan seorang wanita di Kuala Krai semalam, saya percaya ada suspek lain yang terlibat menyimbah asid ke arah isteri saya.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak Polis Diraja Malaysia yang telah berusaha menjalankan siasatan sehingga tertangkap salah seorang suspek. Saya harap kes ini dapat segera diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Syahrul Ikhwan memberitahu, isterinya, Nor Faziera Muda, 37, akan menjalani pembedahan kali ketiga untuk mencuci kesan asid di dalam badannya hari ini.
Katanya, keadaan kesihatan isterinya bertambah baik apabila sudah boleh makan dan minum, namun perlu berpuasa untuk menjalani pembedahan.
“Saya menemani isteri pada setiap malam selepas dia dipindahkan ke wad unit rawatan kebakaran di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
“Isteri saya juga pernah bertanya sama ada suspek sudah di tangkap atau belum. Dia sangat berharap kes ini dapat segera diselesaikan,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan seorang wanita ditahan selepas disyaki terlibat dengan kejadian menyimbah asid terhadap pemilik spa sehingga mendatangkan cedera parah di Beris Kubur Besar di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, suspek yang berusia 38 tahun yang bekerja di kilang getah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Krai, petang semalam. – https://amiminerals.org/