Melioidosis ancaman tersembunyi air banjir

WhatsApp Image 2024 11 27 at 10.50.55 e1732679740747

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kejadian banjir bukan sahaja mengancam keselamatan dan merosakkan harta benda tetapi membawa risiko kesihatan yang serius termasuk ancaman penyakit melioidosis.

Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, melioidosis merupakan penyakit berbahaya disebabkan bakteria burkholderia pseudomallei yang terdapat dalam tanah dan air tercemar.

“Bakteria ini boleh memasuki tubuh melalui luka kecil, penyedutan udara tercemar, atau bersentuhan dengan air banjir,” katanya.

PHM turut memaklumkan bahawa penyakit tersebut boleh menyebabkan pelbagai gejala seperti demam berpanjangan, sakit otot atau sendi, luka bernanah yang sukar sembuh, batuk, sesak nafas serta badan lemah dan lesu.

Tambahnya, golongan yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, penyakit buah pinggang dan kanser dikenal pasti lebih berisiko untuk dijangkiti.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, PHM menekankan beberapa langkah pencegahan seperti mengelak bermain atau bersentuhan dengan air banjir, memastikan luka pada badan ditutup dengan baik serta membasuh badan menggunakan sabun selepas terdedah air bah.

PHM turut menyarankan hanya air bersih dan selamat digunakan untuk diminum bagi melindungi daripada risiko jangkitan bakteria tersebut serta mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak memandang ringan risiko tersembunyi yang dibawa oleh penyakit tersebut. – https://amiminerals.org/.