IPOH – Seorang mekanik menemui ajal akibat tersepit ketika sedang membaiki sebuah treler di Kilometer 286.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Mangsa, Mohammad Marinoor Chik, 60, yang mengalami kecederaan parah maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, nahas sekitar pukul 1.35 pagi itu membabitkan sebuah treler dan dua buah van.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu van turun dari kenderaan yang diparkir di bahu jalan untuk membaiki sebuah treler yang rosak.
“Tidak lama kemudian, datang rakan setugas mangsa yang memandu van lain dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa.
“Semasa mangsa sedang membaiki treler tersebut, rakan mangsa telah mengundurkan kenderaan ke belakang dengan laju dan melanggar van mangsa.
“Tindakan lelaki berusia 36 tahun itu menyebabkan van mangsa menggelongsor ke belakang dan menghimpit mangsa yang berada di antara treler dan van,”katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas pelanggaran berlaku, pemandu van berkenaan telah melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Dalam kejadian itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler tidak cedera,”katanya. – https://amiminerals.org/