PETALING JAYA – Media Mulia Sdn. Bhd. hari ini meluncurkan Arah iaitu sebuah laman web yang menyenaraikan semua kandungan dari semua sumber berita kumpulan Media Mulia, dalam usaha syarikat memudahkan pembaca mencari kandungan.
Laman web arah.my menyenaraikan semua berita disiarkan segmen digital Utusan Malaysia, Kosmo!, The Malaysian Reserve, HibGlam dan Relevan.
Semua kandungan dikategorikan mengikut tajuk terkini, nasional, ekonomi, hiburan dan sukan akan menjadi pusat sehenti kepada pembaca yang mahukan berita dihasilkan Kumpulan Media Mulia.
Pengarah Urusan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar berkata, Kumpulan Media Mulia sudah berkembang dalam tempoh hampir lima tahun daripada hanya jenama Utusan Malaysia dan Kosmo!
Katanya, setiap hari semua penerbitan dalam kumpulan menzahirkan lebih 300 kandungan dalam pelbagai kategori daripada berita dan hiburan kepada ekonomi dan sukan.
Katanya, capaian kandungan digital daripada Kumpulan Media Mulia sudah berkembang dengan pantas dan capaian kandungan secara keseluruhan telah melebihi tiga juta unique visitors berdasarkan data ComScore.
“Kosmo! sendiri telah melonjak ke tangga ketiga berdasarkan jumlah pembaca ComScore kandungan media tempatan pada Februari lalu.
“Apa yang diluncurkan hari ini adalah laman sehenti untuk rujukan pembaca kepada semua kandungan Kumpulan Media Mulia. Ia seperti Google News atau MSN New, tetapi Media Mulia Arah yang akan memudahkan pengguna,” katanya sempena pelancaran Arah.
Laman web arah.my menjadi produk terbaharu Kumpulan Media Mulia selepas edisi digital Utusan Malaysia, Kosmo!, HibGlam, Relevan dan portal komik MMtoons yang pertama dihasilkan mana-mana syarikat media tempatan.
Edisi digital Utusan Malaysia berdasarkan langganan dan berbayar terus mendapat sokongan walaupun terdapat kebimbangan ia tidak mendapat sambutan kerana pembaca menghormati setiap kandungan yang dihasilkan melibatkan kos.
Mohamad Azlan berkata, laman web korporat mediamulia.com.my juga akan diperbaharui dan akan dilancarkan minggu hadapan bagi membolehkan pembaca mengetahui mengenai kumpulan Media Mulia serta semua produk yang disediakan.
Pada masa sama, semua pelanggan berbayar akan mampu menggunakan single login untuk mengakses kandungan digital Utusan Malaysia dan Kosmo!
“Kumpulan Media Mulia terus berkembang dalam industri yang melalui tempoh kemarau yang berpanjangan. Sokongan pembaca yang melanggan semua edisi digital memberi harapan kepada kelangsungan industri dan Media Mulia itu sendiri,” katanya.
Portal berita Arah boleh diakses di arah.my dan semua kandungan akan dirujuk semula ke sumber edisi digital utama.