Mayat reput sah milik Siti Rohani

Untitled design 2025 05 01T084751.333

Motosikal Siti Rohani ditemukan berhampiran tebing Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November tahun lepas.

ALOR SETAR – Polis mengesahkan mayat reput yang terdampar di tebing Sungai Kedah, Alor Mengkudu di sini empat bulan lalu adalah Siti Rohani Saad, 37.

Mangsa dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh sungai November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pengesahan itu dibuat selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh pada Ahad lalu.

“Keputusan DNA itu adalah positif milik Siti Rohani. Mayatnya yang ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dituntut keluarga pada hari sama selepas perkara itu dimaklumkan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis akan meneruskan siasatan berhubung kes itu dan setakat ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Kosmo! sebelum ini melaporkan Siti Rohani dari Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena hilang, manakala motosikal miliknya dijumpai di tebing Sungai Titi Haji Idris pada 8 November 2024.

Wanita itu dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Pegawai di sini pada awal pagi hari kejadian.

Pada 14 Januari lalu, mayat seorang wanita dalam keadaan reput ditemukan orang awam di Sungai Kedah, di sini yang dikaitkan dengan kehilangan mangsa. – https://amiminerals.org/