BELAGA – Lelaki warga emas yang hilang di Sungai Benatu Punan Bah, di sini selepas terjatuh dari perahu ketika hendak keluar mencari durian ditemukan terapung, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa berusia 60 tahun itu dijumpai kira-kira jam 9.10 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak satu kilometer di hilir sungai dari Pusat Kawalan Bomba dan kemudian dibawa ke dermaga Pekan Belaga menggunakan bot polis,”katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mangsa dari Rumah Punan Bah dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus sungai selepas terjatuh dari perahu ketika hendak keluar mencari durian kira-kira pukul 7.30 pagi, kelmarin.
Kejadian turut disaksikan oleh beberapa orang penduduk kampung, yang kemudian segera mencarinya namun gagal.
Susulan laporan yang diterima, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga dikerahkan ke lokasi yang terletak sejauh 115 kilometer dari balai serta perlu melalui jalan balak dan sawit. – https://amiminerals.org/