Matrix Concepts edar 5,000 Jalur Gemilang, semarakkan Hari Kebangsaan

WhatsApp Image 2024 08 13 at 4.39.02 PM

KOMUNITI setempat dan wakil jabatan kerajaan yang hadir mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan 2024 di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.

SEREMBAN – Bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan 2024, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) mengambil inisiatif mengedarkan sebanyak 5,000 Jalur Gemilang kepada 400 komuniti setempat dan jabatan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, selaras dengan tema ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ edaran Jalur Gemilang itu merupakan komitmen pihaknya bersama komuniti di Bandar Sri Sendayan dan jabatan kerajaan bagi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, antara pihak yang menerima Jalur Gemilang adalah Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, persatuan penduduk, ketua kampung, 10 buah sekolah dan rumah ibadat.

“Majlis penyerahan Jalur Gemilang ini bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dalam jiwa kita sebagai warga Malaysia. Sambutan tahun ini lebih istimewa dengan penglibatan lebih banyak pihak berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Selain itu, sebanyak 500 pasu anak pokok bunga raya turut diedarkan sebagai simbolik kepada bunga kebangsaan Malaysia sekali gus mempromosikan kesedaran alam sekitar melalui penanaman flora tempatan,” katanya pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan 2024 di Bandar Sri Sendayan hari ini.

Keng Wai memberitahu, sebanyak 1,000 Jalur Gemilang turut dipasang di seluruh pembangunan utama Matrix Concepts iaitu syarikat pemaju perumahan dan hartanah di Bandar Sri Sendayan.

Sementara itu, MBS turut menggalakkan lebih banyak penglibatan pihak swasta untuk bersama menjayakan program sambutan Bulan Kebangsaan di bandar raya Seremban. – KOSMO!ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *