JOHOR BAHRU – Setelah hampir lima hari bertarung nyawa, mangsa terakhir kebakaran empat kilang di kawasan perindustrian SILC Gelang Patah, Khamis lalu menghembuskan nafas terakhir tengah malam tadi.
Mangsa yang merupakan warganegara Bangladesh itu disahkan meninggal dunia pada pukul 12.50 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mangsa berusia 20an itu meninggal dunia akibat kesan lecuran yang teruk di badan akibat kebakaran kilang tersebut.
“Mangsa bersama dua rakan sekerjanya yang juga warganegara Bangladesh dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru setelah melecur teruk akibat kejadian kebakaran empat kilang itu.
“Mangsa yang dimasukkan ke Zon Merah wad kecemasan hospital terbabit sejak Khamis disahkan meninggal dunia malam tadi akibat kecederaan yang dialami,”katanya kepada pemberita hari ini.
Khamis lalu, akhbar melaporkan empat kilang di kawasan Perindustrian SILC Gelang Patah terbakar hingga menyebabkan tiga lelaki pekerja kilang melecur teruk.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor masih menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengesan punca sebenar kebakaran empat kilang tersebut.
Salah seorang mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan susulan pada Jumaat lalu manakala seorang lagi mengikut jejaknya seharinya kemudian.
Kematian mangsa terakhir tengah malam tadi menyaksikan tiada ada mangsa yang dapat diselamatkan.-https://amiminerals.org/.