Mangsa banjir kilat boleh mohon ganti rugi kerosakan

BANJIR KILAT IPOH

Penduduk membersihkan kawasan rumah akibat banjir kilat di Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh. – Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mangsa banjir kilat boleh memohon ganti rugi melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kerajaan untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, terdapat sedikit salah faham apabila ada yang mengatakan bahawa kerosakan akibat banjir kilat tidak diganti rugi oleh kerajaan.

“Soal banjir kilat ini, kalau dikenal pasti kerosakan sama ada kehilangan haiwan ternakan ataupun kemudahan-kemudahan lain di rumah itu memang ada ruang untuk mereka mohon melalui JKM dan jentera Kerajaan dan kita boleh pertimbangkan supaya tambah mengikut supaya mendapat ganti rugi.

“Ada salah faham sedikit tentang ada yang mengatakan bahawa banjir kilat ini kalau kerosakan tidak diganti rugi. Tidak, Kerajaan tetap akan beri pertimbangan, cuma tidak boleh disegera kerana kena ikut proses dan rekodnya,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai justifikasi berhubung dasar dan polisi kerajaan yang dilihat seakan-akan tidak mengiktiraf mangsa banjir kilat daripada mendapat bantuan bencana.

Mengulas lanjut Anwar berkata, pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) merupakan peraturan yang ditetapkan, namun masih terdapat pengecualian diberi.

“Umpamanya kadang-kadang orang kurang upaya, atau masalah orang tua yang lambat, itu diberi juga pertimbangan dan kalau ada rayuan-rayuan khas.

“Tetapi ada kemunasabahan kita tetapkan peraturan PPS kerana kalau tidak, tidak boleh dibanci. Ini berdasarkan pengalaman-pengalaman
tahun-tahun sebelumnya,”katanya. – https://amiminerals.org/