Malaysia terus perkukuh sektor tenaga boleh diperbaharui

JOHARI SEKTOR TENAGA

JOHARI (dua dari kiri) mendengar taklimat berkaitan Stesen Suntikan Biometena Berpusat di Kluang hari ini.

KLUANG – Sektor tenaga boleh diperbaharui di negara ini dan mampu diperkukuhkan lagi melalui pembukaan Stesen Suntikan Biometena Berpusat di sini yang pertama di Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, stesen itu yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun 2026 dibangunkan Gas Malaysia Green Ventures Sdn Bhd (GMGV) iaitu anak syarikat milik penuh Gas Malaysia Berhad.

Katanya, stesen berkenaan menjadi simbol komitmen negara untuk menjadikan industri sawit sebagai pemacu utama peralihan tenaga negara ke arah yang lebih mampan dan hijau.

“Stesen GMGV itu dibina secara strategik untuk menerima biometana dari kilang kelapa sawit yang terletak dalam radius 200 kilometer sebelum disalurkan ke dalam rangkaian gas asli negara.

“Inisiatif ini membuktikan potensi sebenar komoditi sawit negara, khususnya efluen kilang minyak sawit (POME) yang berjaya ditukar menjadi gas biometana bersih dan lestari.

“Teknologi seperti ini memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran negara untuk pengurangan pelepasan karbon serta kelestarian sektor perladangan. Ia selaras dengan usaha Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net zero emissions) menjelang 2050,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian stesen berkenaan di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, projek berkenaan menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023–2030 (PTBN2030), yang memfokuskan kepada ekonomi kitaran dan pembangunan tenaga berimpak tinggi daripada sumber biojisim perladangan. – https://amiminerals.org/