KUALA LUMPUR – Malaysia berusaha untuk mengukuhkan lagi rantaian bekalan dalam sektor semikonduktor bersama negara anggota ASEAN yang lain sejajar dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, Malaysia tidak berhasrat untuk bersaing dengan negara jiran atau negara anggota ASEAN lain dalam usaha memperkukuh rantaian bekalan terutama dalam sektor semikonduktor di rantau ini.
“Ramai kata Malaysia bersaing dengan Vietnam dan negara jiran lain, tetapi semangat ASEAN adalah kita tidak anggap negara jiran atau rakan kita dalam ASEAN sebagai pesaing.
“Kita ingin kukuhkan rangkaian bekalan seperti dalam sektor semikonduktor,”katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Kesavadas Achyuthan Nair yang ingin tahu mengenai pertumbuhan ekonomi yang adil dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rancangan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam mengemudi ketegangan geopolitik dan perdagangan global.
Katanya, Malaysia, Vietnam dan Singapura adalah negara ASEAN yang memainkan peranan penting dalam sektor semikonduktor global dan perlu bekerjasama dalam menghadapi cabaran global.
“Kita berharap boleh kukuhkan rantaian bekalan ini supaya sekiranya ada apa-apa gangguan dan masalah secara global, tiga negara ini boleh menghadapi cabaran ini bersama,”katanya.
Dalam pada itu, Liew berkata Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada masa ini sedang memuktamadkan Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang dijadual dilancarkan pada Mei 2025 bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan. – https://amiminerals.org/.