Malaysia mahu proses Timor Leste sebagai anggota ASEAN dipermudah

ASEAN TIMOR LESTE

Mohamad ketika sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Logo dan Tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia 2025 di Wisma Putra, hari ini. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Malaysia mahu proses dokumentasi untuk menjadikan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN dipermudahkan.

Perkara itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang akhbar selepas melancarkan tema dan logo Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, di sini hari ini.

Mohamad berkata, semua sedia maklum bahawa, Timor Leste telah pun menjadi sebagai negara pemerhati sejak beberapa tahun lalu, malah usaha menjadikannya sebagai anggota penuh memang sedang berjalan dan dipercepatkan.

Menurutnya, beliau difahamkan, dokumentasi itu banyak membabitkan tonggak dan kluster ekonomi.

“Kita telah minta proses itu dipendekkan, dipermudah dan dipercepatkan. Bagi saya ada juga ahli ASEAN yang belum mencapai sepenuhnya syarat-syarat tersebut,”katanya.

Ditanya sama ada Malaysia akan membawa hasrat dan cadangan itu dalam mesyuarat ASEAN nanti, Mohamad berkata, agenda itu belum dimasukkan dalam mesyuarat itu.

Pada 2022, pemimpin Asia Tenggara mencapai persetujuan untuk membenarkan secara berprinsip Timor Leste menyertai blok ASEAN yang dibarisi 10 negara anggota. – https://amiminerals.org/