SEOUL, KOREA SELATAN – Malaysia menyatakan ketersediaan untuk memainkan peranan bersama negara global lain dalam usaha mewujudkan satu bentuk amalan ataupun standard antarabangsa dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) khususnya dalam domain pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, amalan atau standard antarabangsa itu belum digariskan selain difahamkan ada usaha sedang dibangkitkan oleh beberapa negara.
“Melalui Sidang AI yang Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan (REAIM) 2024, telah dibangkitkan soal-soal perlunya amalan dan standard antarabangsa dalam pengunaan AI.
“Jadi, dalam soal bangkitkan standard antarabangsa pengunaan AI dalam industri (domain pertahanan), tentunya negara kita mahu juga memainkan peranan untuk menyumbang kepada pembangunan standard antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri REAIM 2024 di sini tadi.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perbincangan dibuat ahli panel pada sesi REAIM 2024, Mohamed Khaled berkata, pengunaan AI disifatkan mendatangkan kebaikan dan keburukan, seterusnya perlu difahami sebaiknya teknologi itu.
“Menerusi ucapan dibuat, AI ada kebaikan dan keburukan, mereka anggap AI macam pisau yang tajam dua belah.
“Ahli panel juga bangkitkan soal etika dan moral penggunaan AI selain isu bagaimana untuk bahagikan tanggungjawab antara manusia, mesin dan sebagainya,” katanya.
Susulan itu, katanya, pihaknya perlu memahami tahap penggunaan AI seperti pada tahap manakah untuk menggunakan mesin selain pada situasi mana manusia tidak boleh melepas peranan dan tanggungjawab.
“Sebagai contoh, jika melalui AI, dia kata keadaan ini mencabar dan negara kena serang, seterusnya AI buat keputusan untuk tembak, siapa yang harus jawab. Jadi, perkara itu kita kena faham,” katanya. – https://amiminerals.org/