PETALING JAYA – Buat julung kalinya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja rasmi ke Kuwait.
Lawatan yang bermula sejak 6 Oktober lalu sehingga esok juga adalah pertama kali diadakan sejak beliau menyandang jawatan tersebut pada Disember 2023.
Kunjungan rasmi Mohammed Khaled di Kuwait itu dimulakan dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negara Kuwait, Tuan Yang Terutama (TYT) Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah, di Kementerian Pertahanan Kuwait pada Isnin.
Pertemuan itu amat signifikan dan berimpak tinggi buat kedua-dua Menteri Pertahanan dalam membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dua hala.
Ia termasuk perbincangan dalam pelbagai bidang seperti kerjasama ketenteraan, pertukaran maklumat dan sains, teknologi dan industri pertahanan.
Malah, kedua-dua pihak juga kini di peringkat akhir rundingan ‘Memorandum of Understanding on Defence Cooperation’ untuk dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani pada tahun 2025 di Kuala Lumpur.
Semasa pertemuan itu juga, Mohamed Khaled secara rasminya telah memaklumkan kepada TYT Sheikh Fahad Yousef berkenaan hasrat Kerajaan Malaysia untuk memperoleh pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D Hornet milik Kuwait Air Force (KAF).
Menurutnya, pesawat itu adalah untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara negara.
Pada masa sama, Mohamed Khaled juga telah menyatakan hasrat untuk memulakan rundingan bagi mengenal pasti kaedah perolehan dan manfaat yang boleh menguntungkan kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin itu juga sempat bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan luar rantau khususnya berkaitan situasi keselamatan dan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Beliau kemudiannya mengadap Perdana Menteri Kuwait, Yang Mulia Sheikh Dr. Muhammad Sabah Al-Salem Al-Sabah, di Istana Bayan.
Mereka kemudian telah bertukar pandangan dan menyatakan kerisauan berhubung peningkatkan konflik yang sedang melanda di rantau Timur Tengah, khususnya di Palestin dan Selatan Lubnan.
Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju agar konflik tersebut diselesaikan secara rundingan damai dan mematuhi resolusi- resolusi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada hari yang sama, Mohamed Khaled dan delegasi turut melawat Pangkalan Udara Ahmed Al-Jaber.
Kerjasama dua hala ini penting bagi menyokong Tonggak Strategi Pertahanan Ketiga iaitu “Perkongsian Berwibawa” seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).
KPP tersebut menekankan kepentingan hubungan antarabangsa dalam memastikan keselamatan negara, kedaulatan serantau dan keamanan sejagat.
Pada masa sama, Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan.-https://amiminerals.org/