PUTRAJAYA – Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel susulan insiden membabitkan anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 di Sidon, Lubnan semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, tindakan berkenaan tidak boleh diterima sama sekali.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini telah membincangkan beberapa perkara dan salah satu daripadanya melibatkan tentera Malbatt yang telah mengalami kecederaan.
“Segala perancangan sekiranya perlu atau apa-apa tindakan, kita rujuk kepada Kementerian Pertahanan nanti,”katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Katanya, Malaysia mengutuk serangan itu termasuk serangan berterusan terhadap Lubnan dan pasukan Malbatt.
Dalam insiden itu, seorang anggota yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida, manakala lima lagi anggota yang cedera ringan telah selamat sampai ke Kem Marakah. – https://amiminerals.org/