Malakoff bangunkan sistem Solar Bumbung Bersepadu Bangunan di masjid

Projek sistem solar yang dibangunkan oleh Malakoff di Damansara.

Projek sistem solar yang dibangunkan oleh Malakoff di Damansara.

PETALING JAYA – Projek pembangunan sistem Solar Bumbung Bersepadu Bangunan (BIPV) berkapasiti 203 kWp di Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA) Bukit Damansara, Kuala Lumpur merupakan projek tenaga lestari dibangunkan Malakoff Radiance Sdn Bhd (MRSB), anak syarikat solar komersial dan industri Malakoff Corporation Berhad (Malakoff).

Malakoff melalui satu kenyataan berkata, inisiatif tersebut akan mengurangkan kos elektrik dengan ketara bagi MSUA serta menggalakkan penjimatan kos melalui penggunaan tenaga bersih.

Jelas kenyataan tersebut, projek itu menandakan usaha pertama MRSB dalam pemasangan projek solar komuniti, membuka jalan untuk projek yang serupa pada masa akan datang.

“Projek solar tersebut disiapkan dalam tempoh empat bulan di bawah skim Zero CAPEX. Utamanya, projek ini turut menampilkan reka bentuk kanopi BIPV 100 peratus. Panel solar berfungsi sebagai struktur serbaguna, berfungsi sebagai bumbung kanopi dan penjana tenaga hijau.

“Ia juga menyediakan tempat letak kereta berbumbung untuk lebih daripada 40 kenderaan, menggabungkan kemampanan dengan manfaat komuniti yang praktikal,”jelas kenyataan tersebut.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff (MD & GCEO), Anwar Syahrin Abdul Ajib, menyatakan keterujaannya terhadap usaha syarikat dalam inisiatif Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) yang memberi fokus kepada komuniti.

Katanya, projek terbabit selaras dengan matlamat utama Malakoff untuk meningkatkan kualiti hidup dan memperkaya komuniti di bawah perkhidmatannya.

“Kerjasama dengan MSUA ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kami ke arah memupuk pembangunan mampan komuniti. Dengan memberi impak positif kepada komuniti setempat, inisiatif hijau ini melambangkan potensi transformatif RE.

“Kami berharap ia dapat memberi inspirasi kepada organisasi dan entiti lain untuk mengambil langkah serupa dalam usaha ke arah kemampanan untuk masa depan yang lebih cerah dan lestari.

“Melalui projek ini, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dan berkongsi pengetahuan tentang manfaat jangka panjang pelaksanaan RE, khususnya tenaga solar,”katanya.

Selain itu katanya, kesan terhadap alam sekitar adalah mendalam dan meluas. Menubuhkan inisiatif itu di masjid yang merupakan sebuah pusat tumpuan masyarakat pelbagai peringkat umur dan menyediakan platform yang cemerlang untuk mendidik dan memperkenalkan komuniti kepada kepentingan serta manfaat tenaga solar.

“Walaupun projek ini kelihatan seperti langkah kecil, kesannya amat besar. Kami teruja dengan kemungkinan yang ada dan kekal komited untuk meneruskan lebih banyak projek berpusatkan komuniti yang selaras dengan visi kami untuk masa depan yang lebih hijau,”tambah Anwar Syahrin. – https://amiminerals.org/.