Makanan lebih sihat, sedap guna MSG

IMG 20241203 WA0020

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Bahan penambah perasa makanan atau lebih dikenali sebagai monosodium glutamat (MSG), sememangnya masih menjadi pertikaian dalam masyarakat apabila ada yang mengatakan ia selamat digunakan, malah ramai juga berpandangan kegunaannya menjadi penyebab kepada masalah kesihatan.

Tampil menjelaskan kekeliruan tersebut, pempengaruh media sosial yang juga doktor perubatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan berkata, penggunaan MSG dalam masakan membantu menjadikan makanan itu lebih sihat dan sedap sekali gus dapat mengurangkan pengambilan garam.

“Ketakutan terhadap MSG ini bermula dari barat sekitar tahun 1960-an, apabila seorang doktor tulis surat kepada New England Journal of Medicine mengenai gejala selepas makan makanan Cina, macam pening lah, sakit kepala lah, lepas makan di sebuah restoran Cina.

“Jadi, doktor tersebut buat spekulasi mengatakan MSG dalam masakan tersebut menyebabkan gejala kurang sihat. Kemudian, banyak kajian dilakukan berkaitan MSG dan kesemua hasil kajian mengatakan secara amnya, MSG selamat dimakan oleh kebanyakan orang apabila diambil dalam kuantiti yang sederhana,” katanya dalam satu perkongsian video di Instagram.

Jelasnya, tiada satu pun kajian saintifik menunjukkan MSG berbahaya sekiranya ia dicampur dalam masakan.

“MSG diekstrak, diperbuat daripada sumber makanan semula jadi macam tomato, ubi kayu, tebu melalui proses penapaian dan ia memberikan rasa sedap apabila digunakan dalam masakan, menyihatkan.

“Pengambilan MSG juga dapat kurangkan pengambilan garam sekali gus mengurangkan pengambilan sodium dalam badan sebab MSG ada 12 peratus sodium, ‘table salt’ ada 39 peratus sodium,” katanya. – https://amiminerals.org/