ALOR SETAR – Seorang wanita yang dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan di dalam Sungai Titi Haji Idris dikatakan menggunakan laluan lain daripada kebiasaan untuk ke tempat kerja di sebuah restoran di Jalan Pegawai, di sini hari ini.
Menurut Siti Noor Shuhada Dzulkifli, 28, kejadian dipercayai berlaku ketika ibu saudaranya, Siti Rohani Saad, 37, yang bekerja sebagai pembantu restoran dalam perjalanan dari rumah di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena dekat sini ke tempat kerjanya kira-kira pukul 6 pagi tadi.
“Pelik juga sebab menurut kawannya, ini bukan laluan yang sering digunakan mak su (Siti Rohani) untuk pergi bekerja. Dia dikatakan guna jalan lain yang lebih selamat untuk ke bandar sebab kawasan ini mesti gelap ketika kejadian,”katanya ketika ditemui di lokasi motosikal ditemukan, di sini hari ini.
Bercerita lanjut, katanya, kehilangan ibu saudaranya itu disedari selepas didapati tidak datang bekerja pada pukul 7 pagi dan mereka kemudian menerima mesej dalam satu kumpulan WhatsApp memaklumkan penemuan motosikal di dalam Sungai Titi Haji Idris di Kampung Alor Sekawan, di sini.
“Apabila melihat sahaja mesej itu, kami terus melakukan semakan dan mendapati motosikal itu memang benar milik mak su,”jelasnya.
Sementara itu Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Ahmad Aminuddin Abd. Rahim berkata, pihaknya melakukan selaman namun berdepan cabaran termasuk arus yang agak deras berikutan hujan di hulu sungai,”katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan di dalam sungai di sini- https://amiminerals.org/