PESONA Ahad minggu ini menampilkan anak jati Pulau Mutiara, Pulau Pinang yang gemar mencuba sesuatu perkara baharu selain merupakan seorang yang ‘perfectionist’ dan amat menitikberatkan hasil setiap kerja.
Sebagai ‘podcaster’ atau pengendali podcast di Koppa TV, Maiza Humaira Salim, 29, atau lebih mesra dipanggil Maira menegaskan mahu dirinya dikenali kerana bakat yang dimiliki dan bukannya dinilai menerusi kecantikan.
Kepada Kosmo! Ahad, bekas model produk hiasan wanita itu mengakui tidak sesekali mudah berputus asa dan sentiasa optimis mencapai impiannya.
KOSMO! AHAD: Ceritakan tentang diri Maira?
MAIRA: Seorang yang mementingkan imej dan penampilan serta suka belajar benda baharu. Mahu dikenali kerana bakat (all-rounder) selain seorang kidal.
Bagaimana timbul minat dalam kewartawanan sukan?
Semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, apabila siaran sukan bola sepak menjadi tontonan harian. Saya kemudian mendapat tawaran sebagai ‘stadium announcer’ secara sambilan dan hos sukan melalui portal Harimau Malaya.
Adakah kerjaya itu sukar?
Menjadi seorang wartawan ternyata memerlukan kesabaran yang agak tinggi dan mental yang kuat, manakala menjadi seorang hos pula memerlukan ilmu, tenaga dan personaliti yang bagus. Ini perkara yang saya pelajari dan sangat berguna bukan hanya pada kerjaya tetapi juga dalam kehidupan seharian.
Adakah kecantikan penting tarik penonton?
Kecantikan itu hanyalah bonus. Perkara utama adalah bakat dan ilmu. Banyak perkara yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang pengacara yang bagus.
Pengalaman dalam dunia peragaan?
Pernah menerima tawaran sebagai model canvas makeup, photoshoot outing dan juga beberapa jenama dalam TikTok. Saya juga pernah menyertai beberapa pertandingan peragaan di Borneo (Sabah, Sarawak, Brunei) dan mendapat tempat ketiga.
Model atau hos sukan, mana lebih mencabar?
Sebagai seorang yang pemalu sudah pasti menjadi seorang pengacara lebih sukar. Sebenarnya ada persamaan antara dua skop pekerjaan ini. Salah satunya kreativiti, ekspresi, tenaga dan ilmu. Sebagai seorang ‘introvert’ sudah pasti cara ekspresi melalui percakapan lebih sukar.
Kriteria jejaka pilihan?
Bertanggungjawab, hormat orang tua, rendah diri, mempunyai pendirian dan berwawasan. Untuk jangka masa panjang, sudah tentu yang sepadan menjadi keutamaan, berdoa sahaja untuk mendapatkan pasangan yang baik.