DIANJURKAN secara dwi tahunan, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) menjadi satu program yang sentiasa dinantikan oleh rakyat negara ini.
Jika dihitung, MAHA telah mencapai usia 100 tahun penganjurannya sejak diperkenalkan pada tahun 1923.
Maka tidak hairanlah MAHA mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan telah berevolusi melalui pelbagai peringkat sehingga sepertimana yang dikenali pada hari ini.
Malah sempena satu abad penganjurannya, MAHA 2024 akan diadakan pada 11 hingga 22 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor.
Ketua Sekretariat MAHA 2024, Zurihanmi Zakariya berkata, apa yang lebih istimewa MAHA 2024 kali ini meraikan 100 tahun penganjurannya setelah kali pertama dianjurkan pada 30 Jun hingga 2 Julai 1923.
Menurutnya, setelah 100 tahun penganjuran, MAHA menjadi pameran pertanian yang terulung dan tertua di rantau Asia Tenggara.
“Meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA 2024 akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan penyertaan daripada pelbagai negara, mencetus pembangunan daya tahan dalam sektor keterjaminan makanan dan mengangkat minat golongan muda untuk turut serta dan menjadikan sektor ini sebagai sumber pendapatan utama.
“Untuk penganjuran tahun ini juga kita menyasarkan pendekatan baru iaitu MAHA Go Global dengan menarik penyertaan berbagai negara untuk bersama-sama dalam program ini.
“Kita mendapat penyertaan yang sangat baik dan ini kali pertama MAHA membuka secara rasmi penyertaan daripada negara-negara luar,” katanya.
Tambah beliau, MAHA 2024 mendapat penyertaan lebih daripada 20 negara dan 16 daripadanya akan membuka pavilion mereka dalam pameran tersebut.
Dalam pada itu, tema bagi MAHA 2024 adalah, ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’, ataupun menuai harapan membina masa hadapan.
Malah, MAHA 2024 akan menjadi pencetus kepada satu dimensi baharu sektor pertanian untuk masa hadapan.
Zurihanmi menjelaskan, MAHA 2024 akan memberikan penekanan kepada berbagai elemen.
“Kita juga akan bawakan kepada pengunjung, pemain industri dan sebagainya tentang pendekatan teknologi terkini dalam sektor pertanian bukan hanya di Malaysia tetapi di luar negara.
“Kita akan perkenalkan secara intensif kepada petani-petani kita tentang teknologi Internet of Thing (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya untuk diaplikasikan secara menyeluruh dalam sektor pertanian negara.
“Malah, jika dilihat pada perkembangan tahun terdahulu, sebagaimana kita memperkenalkan teknologi dron pada peringkat awal dulu dan kini telah diterima baik dalam kalangan masyarakat umum,” terangnya.
Dalam pada itu, MAHA 2024 juga menyasarkan jumlah kehadiran pengunjung seramai tiga juta orang sepanjang program itu yang turut berlangsung pada musim cuti persekolahan.
Selain itu, jumlah nilai memorandum persefahaman (MoU) yang diunjurkan bernilai RM6 bilion dan nilai jualan langsung sepanjang program sebanyak RM40 juta.
Mengulas lanjut, Zurihanmi berkata, bagi MAHA 2024 akan ada lebih 2,000 pempamer dan juga usahawan yang akan bersama dengan mereka pada program itu.
“Untuk usahawan makanan sahaja kita ada hampir 1,000 gerai dan jumlah itu agak tinggi memandangkan kita menyasarkan bilangan kehadiran sebanyak 300,000 orang setiap hari.
“Malah kita juga memberi nasihat ikhlas kepada para pengusaha makanan yang akan berniaga sepanjang tempoh MAHA 2024 untuk menjual makanan mereka pada kadar yang munasabah dan mampu milik kepada pengunjung,” terangnya.
Selain itu, untuk kemudahan kepada pengunjung yang hadir ke MAHA 2024 ada beberapa perkara baharu yang dibawakan demi keselesaan.
Laluan berjalan kaki sejauh 1.1 kilometer yang berbumbung turut disediakan bagi kemudahan para pengunjung.
Selain itu Zurihanmi berkata, pilihan perkhidmatan pengangkutan juga dipelbagaikan di sekitar MAEPS untuk kemudahan kepada pengunjung bergerak.
“Kita bukan hanya ada tram, tetapi kita juga menyediakan pelbagai jenis buggy, kenderaan elektrik (EV) dan bas untuk para pengunjung.
“Malah stesen MRT Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terdekat dengan MAEPS juga telah beroperasi dan kita galakkan pengunjung untuk datang ke MAHA 2024 dengan menggunakan kemudahan MRT ini.
“Kita juga akan menyediakan kemudahan shuttle secara percuma dari stesen MRT untuk ke tapak pameran,” katanya.
Tambah beliau, pengunjung digalakkan menggunakan kemudahan awam bagi mengelakkan kesesakan trafik ke MAHA 2024.
Dalam pada itu, MAHA 2024 yang berlangsung selama 12 hari itu turut menampilkan lebih 30 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.
Untuk pengisian dalam dewan, segmen-segmen yang terlibat adalah seperti Agro-Tech, Agro-Lifestyle, Agro-Tourism, Agro-Youth dan banyak lagi.
Segmen pameran dan jualan di luar dewan pula melibatkan laman seperti Agro-Food Padi, Agro-Food Florikultur, Agro-Food Nanas, Agro-Food Ternakan dan pelbagai lagi.
Malah MAHA 2024 kali ini turut menampilkan lapan segmen yang akan menjadi tarikan baharu pengunjung termasuklah floating market, pertunjukan formasi muzikal air serta glamping dan motorhome.
Zurihanmi berkata, semua negeri juga turut menyertai pameran MAHA 2024.
“Setiap negeri akan ada pavilion termasuk Wilayah Persekutuan yang kali pertama akan membangunkan pavilion sendiri
“Selain itu, terdapat pelbagai jenis lembu sado dan dua ekor gajah akan dipamerkan pada MAHA 2024,” katanya. -https://amiminerals.org/