KLANG – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dikatakan menaiki sebuah kenderaan sebelum dilaporkan hilang di kawasan rumah kedai di Bandar Bukit Tinggi di sini, baru-baru ini.
Kanak-kanak dikenali Madrafataha Indal Bangsawan juga sempat meletakkan dua peket mi segera berperisa kari di bahagian rak barangan di rangkaian pasar raya bawah rumahnya.
Ibunya yang mahu dikenali Norlea, 37, memaklumkan anak keempat daripada enam beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum hilang sejak Selasa lalu.
Katanya, Madrafataha yang mesra dipanggil ‘baby’ juga adalah anak yang ringan tulang dalam membantu mengemas rumah dan menjaga dua adiknya yang lain.
“Pada hari kejadian kami tujuh beranak sedang makan mangga sebelum saya menanyakan sama ada baby mahu mi segera. Dia mengangguk dan saya berikan kunci agar mengambil makanan segera itu di kereta yang diparkir dibawah rumah,”katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.
Norlea yang berasal dari Semporna Sabah itu memberitahu, bagaimanapun didapati anaknya tidak naik semula ke rumah selepas setengah jam sebelum dia segera mencarinya di kawasan sekitar.
Ujarnya, sepanjang pencarian tersebut dia dimaklumkan bahawa anaknya sempat meninggalkan dua peket mi segera di rak pasar raya.
“Beberapa penduduk di sini menyatakan dia berkeliaran sebelum menaiki sebuah kenderaan berwarna hitam. Maklumat terakhir saya terima daripada orang ramai menyatakan dia berada di Seksyen 13, Shah Alam. Namun, kami gagal menemuinya di lokasi tersebut,”katanya.
Norlea yang juga asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, ada beberapa individu mendakwa melihat seorang yang mirip anaknya itu bersama dua wanita.
“Pecah kepala memikirkan keberadaan ‘baby’. Setiap malam saya menunggu di bawah rumah menanti kepulangannya.
“Harapan saya supaya disegera ditemui dalam keadaan selamat sebab kami sekeluarga amat merinduinya,”katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Madrafataha dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan di kereta yang diparkir di bawah rumahnya di Bandar Bukit Tinggi dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, Selasa lalu.
Semasa hilang, kanak-kanak itu dikatakan memakai baju T sukan berwarna hijau dan berseluar trek warna hitam.
Ciri-ciri lain adalah Madrafataha berketinggian 150 sentimeter, berkulit cerah dan rambut paras bahu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menyalurkan ke IPD Klang di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – https://amiminerals.org/