SAUDARA PENGARANG,
Baru-baru ini, saya mengunjungi Cameron Highlands, satu destinasi pelancongan tanah tinggi yang sangat terkenal dan popular.
Kesesakan jalan raya yang teruk sudah sinonim dengan Cameron Highlands pada cuti umum dan cuti sekolah.
Jika hati tidak kental, jangan cuba untuk panjat tanah tinggi ini. Jarak lima kilometer, masa perjalanan yang terpaksa ditempuh lebih sejam.
Bagaimanapun, situasi itu tidak menghalang orang ramai untuk terus mengunjungi Cameron Highlands biarpun kawasan peranginan tanah tinggi itu pun tidaklah sesejuk dahulu.
Jika dahulu, suhu sejuk pada waktu siang di bawah 22 darjah Celsius, manakala malam pula lagi sejuk. Ketika itu pemakaian baju sejuk amat penting, bercakap pun keluar kabus.
Tetapi sekarang tidak perlu beria-ria pakai baju sejuk, suhu pada waktu siang kadangkala mencecah 26 darjah Celsius sehingga boleh menitik peluh jika banyak berjalan.
Mungkin kerana terlalu banyak pembangunan serta penerokaan tanah di Cameron Highlands menyebabkan alam semula jadi musnah, sekali gus suasana sejuk semakin hilang.
Sekiranya ia tidak dihalang, kita bimbang tiada lagi suasana sejuk di Cameron Highlands.
PELANCONG TEMPATAN
Kuala Lumpur