Luahan pembaca: Gangguan kera liar buat penduduk hampir gila

luahan 1

Serangan kera liar di kawasan perumahan bukan sahaja merosakkan harta benda, malah membuatkan penghuninya tertekan.

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK kebelakangan ini, penduduk di kawasan kami di Umbai, Melaka semakin tertekan dengan kehadiran kumpulan kera liar yang sering menceroboh ke kawasan perumahan.

Kera-kera ini datang secara berkumpulan, berkeliaran di bumbung rumah, halaman, dan kawasan sekitar, sehingga menyebabkan ketakutan dalam kalangan penduduk. Gangguan berlaku setiap hari.

Apa yang lebih membimbangkan, kera-kera ini bukan sahaja mencuri makanan atau merosakkan tanaman, malah ada yang bertindak agresif dengan mengejar kanak-kanak dan cuba merampas beg tangan atau barang dibawa warga emas.

Mereka juga kerap memecahkan tong sampah dan menaburkan sisa makanan, sekali gus mengundang tikus dan haiwan perosak lain.

Kami juga telah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa, namun tindakan yang diambil masih belum menunjukkan sebarang hasil yang berkesan.

Gangguan kera liar ini bukan sahaja mengganggu dari segi fizikal, malah turut memberi tekanan emosi. Kami takut kerana tidak dapat membuka tingkap dan pintu dengan tenang.

Oleh itu, kami merayu agar pihak berkuasa yang berkaitan dapat mengambil langkah yang lebih tegas dan proaktif dalam menangani isu ini. Kami hanya inginkan kehidupan yang aman, bersih dan bebas daripada ancaman haiwan liar yang semakin berani ini.

Mangsa kera,
Umbai, Melaka