MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bertindak pantas apabila menahan sebuah lori 18 tan yang dikesan bergerak secara berbahaya di atas jalan raya menggunakan tayar pecah dan botak untuk menghantar muatan batu ke tapak binaan di Jasin.Kenderaan berat itu ditahan pada 27 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari tapak kuari ke lokasi binaan selepas dikesan anggota JPJ yang sedang membuat rondaan di sekitar Jalan Jasin.Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim berkata, hasil pemeriksaan mendapati lori terbabit telah bergerak sejauh kira-kira 40 kilometer dengan tayar yang tidak selamat dan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.“Berdasarkan maklumat rondaan, lori itu sudah bergerak antara 20 hingga 40 kilometer dengan tayar pecah dan botak sebelum berjaya ditahan.“Lori terbabit kemudiannya dibawa ke pejabat JPJ Melaka untuk tindakan lanjut terhadap pemandu dan pemilik kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Sepadu sempena Op Khas HRA 2025 di Lebuh Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin (AMJ) di Semabok, di sini, malam tadi.Menurut beliau, lori berkenaan merupakan antara 518 kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres yang diperiksa sepanjang Op Khas HRA yang bermula sejak 24 Mac lalu.“Sebanyak 273 saman telah dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan atas pelbagai kesalahan trafik.“Sebanyak 1,720 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, manakala 2,380 saman telah dikeluarkan kepada pemandu, penunggang dan pemilik kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang jalan raya,” ujarnya. – https://amiminerals.org/