Liverpool calon awal juara EPL

Salah Liverpool

SALAH (tengah) sudah meledak 10 gol dan turut mencipta 10 bantuan jaringan dalam semua kejohanan musim ini. – LIVERPOOL FC

LIVERPOOL – Liverpool berada pada landasan terbaik untuk memenangi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Anfield awal pagi semalam.

Keadaan itu turut dibantu dengan kekalahan mengejut pencabar terdekat, Manchester City yang tewas 1-2 kepada Brighton, sekali gus meletakkan The Reds selesa menerajui takhta liga menerusi perbezaan lima mata.

Sedar dengan peluang mereka mengukuhkan cengkaman di persada liga, pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister mula percaya mereka adalah calon terbaik untuk merampas takhta kejuaraan daripada City.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini kerana mampu mengekalkan kedudukan di tangga teratas. Sekiranya kami mampu menerajui liga dengan kelebihan lima mata, ia membuktikan sesuatu mengenai kami.

“Bagaimanapun, kami perlu ambil pendekatan langkah demi langkah. Saya mungkin tidak mengaku kami calon (juara) pada awal musim tetapi sekarang nampaknya keadaan itu sudah berubah,”katanya.

Pada perlawanan itu, Liverpool memanfaatkan sepenuhnya aksi di laman sendiri apabila menguasai sebahagian besar permainan selain menjaringkan gol menerusi Darwin Nunez dan Mohamed Salah.

Pengurus The Reds, Arne Slot menjelaskan, beliau gembira apabila pemain-pemainnya dapat mengekalkan kecergasan sepanjang saingan musim ini untuk merekodkan kemenangan ke-15 daripada 17 perlawanan dalam semua kejohanan setakat ini.

“Kami sangat bertuah kerana sebahagian besar pemain Liverpool kekal cergas sehingga masa ini. Bagaimanapun, masih banyak cabaran perlu dihadapi dan perlawanan selepas ini mungkin lebih sukar,”ujarnya. – AGENSI