KLANG – Lima lelaki dicekup selepas memecah masuk dan mencuri kabel sebuah kilang di kawasan perindustrian Pulau Indah, baru-baru ini.
Penangkapan kesemua suspek termasuk warga asing berusia 25 hingga 44 tahun dilakukan anggota unit peronda (MPV) kira-kira pukul 6.55 petang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada pemilik kilang berusia 47 tahun yang menyatakan ada kejadian menceroboh di kilangnya.
Katanya, sepasukan anggota MPV kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap lima suspek lelaki.
“Turut dirampas sebuah kereta jenis pickup bersama kabel-kabel disyaki dicuri dari kilang itu.
“Modus operandi dilakukan suspek adalah dengan cara memotong mangga pintu pagar sebelum masuk ke kilang itu,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau.
Ramli menambah, siasatan lanjut masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah masuk kilang dengan niat untuk mencuri. – https://amiminerals.org/