Lima individu didenda RM3,000 kemuka maklumat palsu daftar kelahiran

WhatsApp Image 2025 03 19 at 2.06.12 PM

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. – Foto oleh FAISOL MUSTAPA

PUTRAJAYA – Lima individu didenda masing-masing RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mengemukakan maklumat palsu ketika membuat pendaftaran kelahiran lima bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Tertuduh, Tan Eek Ming, 44 selain dua ahli perniagaan iaitu Leong Hon Ming, 52, dan Khor Wooi Huat, 48, serta dua suri rumah iaitu Beh Chui See, 31, dan R Nishanthi, 37, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun semua tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara berasingan dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat Permohonan Pendaftaran Kelahiran menggunakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LM01).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kaunter Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat JPN, di sini pada pukul 8 pagi hingga 5 petang antara 26 Mei 2023 hingga 11 Oktober 2024.

Mengikut fakta kes, pegawai pendaftaran selaku pengadu bersama sepasukan anggota penguatkuasa JPN Putrajaya menahan semua tertuduh di depan pintu masuk utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam pada pukul 1.30 petang 16 Mac lalu.

Hasil siasatan mendapati, semua tertuduh dengan sengaja mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kelahiran atas nama lima bayi sehingga terkeluar sijil lahir dengan nombor daftar.

Kosmo! sebelum ini melaporkan pegawai perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit sindiket pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara selain pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Difahamkan jumlah bayaran rasuah yang diterima adalah antara RM2,000 hingga RM6,000 bagi setiap kes. – https://amiminerals.org/