\’Lima bintang’ Liverpool masih belum puas

Liverpool 7

GAKPO (duduk) gembira meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya selepas meledak dua gol awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Pengurus Liverpool, Arne Slot memuji kualiti dan persembahan pasukannya selepas berpesta gol dengan membelasah West Ham 5-1 dalam aksi Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi semalam.

Liverpool yang membuat sembilan pertukaran dalam kesebelasan utamanya memperagakan aksi dominan untuk mara ke pusingan keempat EFL hasil dua jaringan Diogo Jota dan Cody Gakpo serta satu daripada Mohamed Salah.

Bagaimanapun, Slot mahu para pemainnya terus bekerja keras kerana selepas ini mereka diundi berdepan pasukan lebih hebat seperti Brighton pada pusingan keempat nanti.

“Saya sudah lama beritahu bahawa kami mempunya ramai pemain berkualiti. Itu yang kami tunjukkan minggu lepas dan sekali lagi malam ini. Saya puas hati kerana pemain yang masuk tidak hanya fokus kepada prestasi individu tetapi mereka bekerja keras untuk pasukan.

“Apapun, kami perlu waspada menjelang pertembungan seterusnya kerana Brighton adalah pasukan yang berkualiti. Saya lebih suka bermain di tempat sendiri kerana jadual yang padat, tetapi kami perlu bersedia menghadapi lawan nanti,”kata Slot.

Dalam pada itu, Slot turut memuji penampilan Jota dan Gakpo selepas dua pemain itu cemerlang menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut.

“Diogo (Jota) berhak untuk dua gol ini kerana dia sudah bermain banyak perlawanan hebat untuk kami tetapi sebagai penyerang semestinya mahu menjaringkan gol. Cody (Gakpo) pula bukan sahaja menjaringkan dua gol tetapi bermain dengan cukup baik di posisinya,”katanya. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *