Liga Super: Selangor enggan dijerat Sri Pahang

Selangor

SELANGOR tekad mengutip tiga mata ke atas Sri Pahang sekali gus menebus kekalahan tewas sewaktu kempen Piala Malaysia.

PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu anak-anak buahnya melupakan aksi final Piala Cabaran buat seketika bagi memberikan fokus Liga Super terhadap aksi menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, malam ini.

Bagaimanapun, Kinoshi percaya setiap pemain adalah profesional yang mampu membahagikan perhatian kerana masing-masing sedar tuntutan tiga mata bagi mempertahankan kedudukan kedua dalam carta Liga Super ketika ini.

“Ini kali kedua saya menentang Sri Pahang di mana sebelum ini mereka lebih kuat. Kami kena terus berjuang pada perlawanan kali ini dan kita lihat nanti apa yang akan berlaku.

“Sebelum ini (menentang Sri Pahang) saya baru sampai dan sekarang pemain mula faham falsafah yang diterapkan. Jadi saya harap ia akan bertambah baik dan ketika ini final juga bukan lagi keutamaan saya.

“Jika kami mampu bermain dengan cara sendiri, pasti pengakhirannya juga sesuatu yang menggembirakan. Kami profesional dan kami kena ada motivasi untuk menghadapi setiap perlawanan,”katanya.

Dalam masa sama, Kinoshi menganggap penyerang Tok Gajah, Kpah Sherman sebagai ancaman utama, namun ketiadaan Sergio Aguero menghadirkan kelegaan buatnya.

“Pemain nombor sembilan agak bagus tetapi Aguero yang digantung adalah berita baik. Kami cuba yang terbaik untuk dapatkan keputusan bagi menghadirkan kegembiraan buat penyokong,”katanya.