Liga Super: Perak akur jurang kualiti JDT

Feroz

PERTAHANAN JDT, Feroz Baharudin membuat tandukan ke arah gawang Perak pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam. – RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah sudah menjangka kekalahan besar pasukannya kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) disebabkan jurang kualiti kedua-dua pasukan apabila tewas 0-5 pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Menurutnya, pemain tidak seharusnya memberi ruang kepada lawan untuk bermaharajalela menguasai permainan khususnya di bahagian tengah dalam perlawanan menentang pasukan seperti JDT.

“Setelah dibolosi empat gol pada separuh masa pertama, saya ingatkan pemain agar kekalkan disiplin di bahagian pertahanan. Mereka nampak berjaya melakukannya walaupun JDT berjaya menambah satu lagi jaringan.

“Ketiadaan Luciano (Guaycochea) yang mengalami kecederaan menjejaskan perancangan kami setelah bahagian tengah tidak berfungsi dengan baik dan memberi kesan kepada kami.

“Kami juga kehilangan Luka (Milunovic) yang hanya mampu beraksi 30 minit sebelum dikeluarkan. Saya terpaksa mengeluarkan Sunday (Afalobi) yang sudah mengutip kad dan enggan mengambil risiko hingga menyebabkan kami perlu bermain secara bertahan,”katanya.

Melihat dari sudut positif, Yusri gembira dengan aksi meyakinkan pemain mudanya yang berani bersaing dengan JDT sehingga mampu menyekat penyandang juara itu menambah lebih banyak jaringan pada babak kedua.

Sementara itu, Yusri mengharapkan tuah memihak pasukannya tidak bertemu JDT pada peringkat awal Piala Malaysia selain mampu melangkah dengan lebih jauh.

“Harap undian nanti kami tidak berdepan JDT lagi. Piala Malaysia adalah trofi berprestij dan semua pasukan mahu memberikan yang terbaik dalam merebut trofi tersebut.

“Walaupun Perak dijangka menempuh laluan sukar dan berliku tetapi kami akan memberikan aksi terbaik dan tentangan hebat kepada mana-mana pasukan. Kami enggan menyerah kalah begitu sahaja,”ujarnya. – https://amiminerals.org/