Leukemia ragut kebahagiaan anak

lead 18

NUR UMAIRAH kini terlantar selepas disahkan menghidap leukemia tahapberisiko tinggi di rumah di Johor Bahru.

PETALING JAYA – Luluh hati seorang ibu setiap kali mende­ngar keluhan dan rintihan anak perempuannya yang tidak tahan menanggung derita selepas di­sahkan menghidap barah darah atau leukemia pada awal Disember lalu.

Haida Pairan, 36, berkata, kehidupan anaknya, Nur Umairah Mohd. Fauzi, 11, yang sebelum ini ceria dan aktif bertukar sekelip mata kepada suram dan dipenuhi air mata.

Katanya, kesihatan anaknya berubah sejak pertengahan November lalu apabila sering demam berpanjangan, mudah letih, pucat dan kesan lebam secara tiba-tiba pada badan.

“Saya dan suami (Mohd. Fauzi Mahmud, 38) terus membawa kakak (Umairah) ke klinik kesihatan sebelum dirujuk ke hospital.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap sampel darah dan air tulang sumsum kakak di hospital, sahkan kakak hidap barah darah kategori berisiko tinggi,” katanya yang menetap di Johor Bahru.

Menurut pengurus perhubu­ngan pelanggan itu, hatinya luluh setiap kali mendengar anaknya mengadu sakit dan memberitahu tidak tahan menanggung ujian itu.

Tambahnya, dia juga pernah bertanya adakah dia boleh sembuh dan boleh meninggal dunia akibat penyakitnya itu.

“Kami sedih tetapi reda de­ngan ujian ini. Melihat dia (Umairah) merintih kesakitan, jiwa kami rasa terhiris,” luahnya.

Ujar Haida, rambut anaknya kini sudah botak dan pergerakan turut terbatas apabila kakinya tidak kuat untuk berdiri atau berjalan.

“Dia perlu kerusi roda untuk bergerak. Setiap kali demam dia mengadu bisa-bisa pada badan dan terasa lemah membuatkan dia rasa tidak boleh kembali sihat seperti dahulu, dia seakan merasa tidak kuat untuk melawan kesakitan,” katanya.

Menurut Haida, sejak sakit, anaknya sudah dua kali dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan termasuk sesi kemote­rapi.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 151071000777 atas nama Haida atau hubunginya di talian 018-373 2518.

Katanya, antara barangan utama yang menjadi keperluan ha­rian Umairah adalah lampin pakai buang.

“Jika ada bantuan lampin pakai buang, saya hargai sangat,” ujarnya.