Lesap hampir setengah juta angkara skim pelaburan

kena scam

Gambar hiasan.

TAIPING – Seorang operator kilang kerugian RM449,100 selepas terjerat dengan sindiket pelaburan tidak wujud baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada pukul 10.36 malam semalam.

“Pada 16 Februari lalu, mangsa melayari laman Facebook dan berminat untuk menyertai satu skim pelaburan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Mangsa kemudian menekan pautan untuk dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan berhubung dengan seorang pentadbir,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata, mangsa ditawarkan pelan keuntungan yang menjanjikan keuntungan beberapa peratus daripada hasil pelaburan bergantung kepada kenaikan harga saham semasa.

Pada hari sama juga, mangsa diminta berhubung dengan seorang lagi individu dan diminta memuat naik satu aplikasi bagi memantau kenaikan dan keuntungan saham.

Sejak 16 Februari hingga 12 April lalu, mangsa melakukan sebanyak 19 transaksi ke dalam lima akaun bank berjumlah RM449,100.00.

Mangsa hanya menyedari dia ditipu apabila tidak menerima keuntungan seperti yang dijanjikan. Perbualan di dalam WhatsApp juga tidak dibalas sebelum membuat laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – https://amiminerals.org/