\’Lepas empat hari, asap kebakaran padam akhirnya\’

PENGKALAN CHEPA KEBAKARAN ASAP

Keadaan terkini di sebuah kilang barangan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini. – Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

KOTA BHARU – Kerja-kerja memadam kebakaran sebuah kilang yang menempatkan barangan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini tamat hari ini selepas empat hari operasi dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Alam Nasut Ilias berkata, operasi memadam tompokan asap itu tamat pada petang ini dan pemantauan akan terus dijalankan di kawasan tersebut selepas ini.

Menurutnya, pasukannya bomba memberi tumpuan di bahagian belakang kilang tersebut kerana masih ada asap di bawah timbunan sisa kebakaran.

“Sebuah jentera berat digunakan untuk mengorek sisa kebakaran yang masih ada tompokan asap. Dianggarkan lima peratus tompokan asap masih ada di beberapa bahagian belakang kilang tersebut setakat hari ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Alam Nasut memberitahu, seramai 18 orang anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran dan tompokan asap buat kali terakhir hari ini.

Menurutnya, pihak Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) banyak membantu dalam melancarkan operasi memadam kebakaran yang berlaku sejak Ahad lalu.

Kosmo! Online semalam melaporkan, operasi memadam kebakaran sebuah kilang yang menempatkan barangan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini, dijangka selesai sepenuhnya hari ini. – https://amiminerals.org/