Leonardo AW 149 penuhi spesifikasi TUDM

Mohd. Asghar Khan

Mohd. Asghar Khan menyematkan sayap penerbangan kepada graduan sempena Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di KTU Kepala Batas, Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Helikopter Leonardo AW149 yang bakal menggantikan Nuri atau Sikorsky S-61 bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), telah dipastikan untuk dilengkapi spesifikasi ketenteraan Angkatan Tentera (ATM).

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter yang bakal diterima pihaknya sama sekali berbeza dengan helikopter jenis sama untuk kegunaan awam.

Menurutnya, helikopter tersebut cukup sesuai untuk melaksanakan tiga penugasan utama iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) serta utiliti.

“Jika kita memilih untuk mendapatkan helikopter jenis lain, kita mungkin perlu berbelanja lebih. Lagi pun kos operasi Leonardo AW149 ini juga mungkin lebih rendah daripada helikopter jenis lain.

“Jadi pertimbangan sewajarnya telah dibuat dalam hal ini dan di pihak TUDM, kami tiada isu dengannnya,”katanya ketika menghadiri  Majlis Perbarisan Pemakaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan 85/23 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter 65/23 di Kolej Tentera Udara (KTU) dekat Kepala Batas di sini, hari ini.

Baru-baru ini bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz mempersoalkan pemilihan Leonardo AW149 bagi menggantikan Nuri kerana mendakwa helikopter itu lebih bersifat untuk kegunaan awam di pelantar minyak, berbanding kegunaan tempur.

Ahli Parlimen Tanah Merah itu mendakwa, berbanding Leonardo AW149, helikopter H225M (EC725 Caracal) mempunyai keupayaan lebih baik dan perlu dijadikan sebagai pilihan jika usaha untuk mendapatkan Black Hawk sukar.

Mengulas lanjut Mohd. Asghar berkata, helikopter berkenaan bakal diperolehi secara sewa beli dengan pihaknya tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan terhadapnya. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *