MASYHUR dengan sejarah dan alam semula jadi, bandar Lenggong di Hulu Perak mempunyai potensi sebagai destinasi pelancongan sukan di Semenanjung Malaysia.
Apatah lagi Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 serta lokasi Geopark Kebangsaan pada 2021.
Selain dikelilingi bukit dan gunung di sekitarnya, antara keistimewaan yang dimiliki adalah Tasik Raban dan Sungai Perak.
Keunikan lembah itu yang terletak lebih 270 kilometer (km) dari ibu negara dapat diamati penulis ketika menyertai Kejohanan Antarabangsa Lenggong Kayak Orienteering baru-baru ini.
Kejohanan edisi kedua itu dianjurkan oleh Persatuan Sukan Orienteering Malaysia (Pesom) dengan disertai 112 pasukan melibatkan 224 peserta.
Inisiatif Pesom menggabungkan sukan kayak dan ‘orienteering’ ternyata mewujudkan landskap baharu dalam arena sukan lasak negara.
Ini kerana, setiap pasukan hanya diberikan peta satu jam sebelum pertandingan bermula sebagai panduan navigasi untuk ke 30 ‘checkpoint’ (titik kawalan) yang disediakan.
Peserta bebas memilih mana-mana titik kawalan untuk dilawati terlebih dahulu, namun setiap titik kawalan mempunyai markah berbeza dengan masa dihadkan selama 12 jam.
Kejohanan yang meliputi keluasan 23 km persegi itu melibatkan jarak sejauh kira-kira 40 km bagi menentukan pemenang menerusi pungutan markah terbanyak.
Kesemua peserta yang bertanding bagi sembilan kategori iaitu terbuka, master (veteran) dan institut pendidikan tinggi (IPT) bagi lelaki, wanita serta campuran memulakan perlumbaan seawal pukul 8 pagi di Resort Tasik Raban.
Pada sesi ‘flag off’ (pelepasan), setiap pasukan bergerak menggunakan strategi masing-masing dengan harapan untuk menyelesaikan semua cabaran dalam masa paling singkat.
Setelah berkayak kira-kira hampir dua jam dengan jarak sejauh 15 km, penulis tidak dapat menahan diri daripada terpegun dengan panorama indah serta nilai estetik Tasik Raban yang kaya dengan tumbuhan hijau seperti mengkuang, rumput air dan teratai.
Lebih mengasyikkan apabila melalui Sungai Perak untuk ke Kampung Beng atau dikenali sebagai mini Amazon.
Di situ, penulis diapit oleh dua kawasan bukit dan pergunungan iaitu Banjaran Titiwangsa di timur dan Bintang di barat.
Sesungguhnya, potensi yang ada Lenggong ini ibarat permata yang masih belum digilap sama ada daripada sudut eko-pelancongan mahupun sukan.
Menurut Presiden Pesom, Shamsuri Abd. Latif, pihaknya memilih Lenggong sebagai lokasi kejohanan berikutan keunikan yang terdapat di Tasik Raban.
“Tasik Raban ini lebih teknikal kerana mempunyai banyak suak (teluk kecil) yang tersembunyi. Ia juga memiliki gugusan pulau kecil iaitu puncak bukit yang sudah ditenggelami air.
“Buat masa ini, saya mahu mengekalkan acara ini di sini, di samping mempromosikan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan dan destinasi sukan pelancongan,” katanya.
Shamsuri berkata, Malaysia merupakan negara pertama yang melaksanakan kejohanan seumpama itu sehingga mendapat perhatian Sweden dan Hong Kong.
Bagi kategori master lelaki, Anora Frezylah Abdul Rahim, 46, dan Mohd. Saffry Mohamddin, 45, muncul juara apabila berjaya mengumpul markah penuh dengan catatan masa 6 jam 22 minit.
Menurut Anora Frezylah, memiliki pengalaman berkayak selama 15 tahun sememangnya menjadi kelebihan buat kumpulan itu.
“Walaupun kami berdua tidak pernah menjalani latihan bersama kerana menetap di negeri berbeza, tapi semuanya berjalan lancar.
“Tidak dinafikan, Tasik Raban sangat teknikal, namun kami berjaya selesaikan semua cabaran,” ujarnya.
Untuk rekod, kejohanan tersebut telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records atas pencapaian ‘The longest Non-Stop Kayak Orienteering Event’.
Selain acara kayak, Lenggong juga bakal dikunjungi pasukan elit ‘adventure racing’ dunia pada 22 hingga 25 November ini bagi acara 48H Iron Bound A1 National Series yang diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2024.