GUA MUSANG – Lencongan sementara sedang dibina bagi memberi kemudahan perhubungan kepada penduduk di lapan buah kampung melakukan urusan harian selepas laluan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini runtuh, kelmarin.
Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, pihaknya telah mengeluarkan peruntukan segera sejumlah RM18,000 bagi membina lencongan berkenaan.
Katanya, kerja pembinaan jalan lencongan sepanjang 300 meter itu telah dimulakan sejak semalam untuk laluan pengguna motosikal.
“Tindakan membina jalan lencongan bagi memberi kemudahan kepada murid dan pelajar sekolah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita rasa keadaan ini selaras dengan tindakan pihak Jabatan Kerajaan Negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang akan membina Jambatan Bailey sepanjang kira-kira 15 hingga 25 meter selepas ini,” katanya selepas meninjau keadaan jalan runtuh di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini hari ini.
Nik Raisnan memberitahu, kehidupan lebih 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran terjejas dengan kejadian jalan runtuh itu.
Katanya, pihaknya berharap pembinaan Jambatan Bailey atau jalan kekal dapat dibina secepatnya sebelum bulan Mac atau Ramadan tahun depan. – https://amiminerals.org/