TUMPAT – Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih haiwan ternakan terutamanya lembu untuk melakukan ibadah korban agar tidak terbeli lembu seludup yang menyalahi undang-undang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pemilihan haiwan yang tidak menyalahi undang-undang penting agar perlaksanaan ibadah korban itu diterima Allah SWT.
“Seeloknya, pilihlah haiwan korban yang terbaik. Jika kita ingin korban, korbanlah sebaik-baiknya.
“Ia (membeli lembu seludup) tidak menyalahi undang-undang agama, tetapi ia perlu selari dengan roh Aidiladha iaitu ingin pengorbanan yang terbaik dengan mengambil teladan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail,” katanya selepas Himpunan Silang Budaya Panglina Gayong Bersama Pendekar Kelantan dan Kedah di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1 di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, bukan kuasa pihaknya untuk menjatuhkan hukum haram jika ada umat Islam melakukan ibadah korban dengan lembu seludup.
“Kita rujuk perkara itu kepada pihak yang mempunyai kuasa. Pihak kami boleh memberi pandangan, nasihat dan panduan untuk melakukan ibadah korban,” katanya. – https://amiminerals.org/