MUKAH – Seorang lelaki warga emas hilang setelah terjatuh ke dalam Sungai Batang Oya di sini, selepas perahunya berlanggar dengan bot laju.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Dos Katek, berusia dalam lingkungan 80-an dari Kampung Klid Dalat.
“Difahamkan mangsa telah terkena bahagian hadapan bot laju terbabit menyebabkannya terjatuh ke dalam sungai,”katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.
Menjelas lanjut, beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9.42 pagi tadi dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya pasukan bomba bersama-sama polis kemudian bergerak ke lokasi kejadian dari Tebingan Dalat menggunakan sebuah bot polis, dengan jarak ke lokasi kejadian dianggarkan memakan masa satu jam 30 minit menggunakan laluan sungai.
Beliau berkata ketika ini, operasi SAR masih dijalankan namun belum menemukan mangsa. – https://amiminerals.org/