Lelaki Pakistan ‘ronda’ ibu negara dicekup memandu tanpa lesen

IMG 20250101 WA0027

Hamidi memeriksa dokumen milik lelaki Pakistan yang ditahan memandu tanpa lesen dalam Op Ambang Tahun Baru 2024, di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki warga Pakistan untuk bersiar-siar bersama rakannya di ibu negara berakhir dengan kekecewaan apabila ditahan memandu tanpa lesen di Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, malam tadi.

Malah, lelaki berusia 45 tahun itu didapati cuba melarikan diri selepas diarah keluar dari kenderaan dengan helah beredar dari lokasi secara senyap-senyap.

Bagaimanapun, usahanya gagal apabila ditahan semula oleh pihak berkuasa dan pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu bukan sahaja tidak mempunyai lesen memandu, namun turut gagal menunjukkan pasport sah.

Demikian antara tangkapan Operasi Ambang Tahun Baru 2024 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi yang berlangsung dari pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam tadi menyaksikan sebanyak 5,094 kenderaan diperiksa.

Kata beliau, pihaknya mengambil tindakan terhadap 731 kenderaan dan mengeluarkan 1,510 notis tindakan terhadap pesalah jalan raya.

“Antara kesalahan utama yang dikenakan adalah tiada lesen memandu (634) diikuti Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (315), ketiadaan insurans (301), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (113), dan kesalahan cermin sisi (16).

“Sebanyak 117 kenderaan disita termasuk 101 motosikal dan 16 kereta,” katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi, di sini,

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan operasi itu turut menyaksikan tindakan menahan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia (17), Pakistan (9) dan Myanmar serta Yemen masing-masing seorang.

“AADK pula menjalankan saringan air kencing ke atas 26 individu dengan tiga daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine (dua orang) dan opiat (seorang),” katanya.

Tegas beliau, operasi ini mencerminkan usaha bersepadu pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan jalan raya dan mencegah pelanggaran undang-undang sempena sambutan tahun baru. – https://amiminerals.org/