Lelaki Pakistan dicekup rentas Sungai Golok, tak sempat kerja semula di KL

IMG 20250101 WA0038

Anggota tentera menahan seorang lelaki Pakistan (tengah) yang menyeberang Sungai Golok di Tanah Merah semalam. – IHSAN DUA DIVISYEN

TANAH MERAH – Hasrat seorang lelaki warga Pakistan untuk kembali bekerja di Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila dia dicekup selepas merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini semalam.

Pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditangkap kira-kira pukul 11.15 pagi sebaik sahaja menjejakkan kaki di tebing Sungai Golok bersama seorang lagi lelaki.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, anggota tentera menjalankan operasi di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia melihat dua lelaki menyeberang Sungai Golok dari Thailand.

Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, salah seorang daripada lelaki itu melarikan diri dengan merentas semula Sungai Golok ke arah negara jiran.

“Salah seorang daripada suspek tidak sempat lolos dan berada di tebing sungai bersama barangan peribadinya.

“Pemeriksaan mendapati, lelaki itu merupakan warga Pakistan dan memiliki pasport sah sehingga 2027. Suspek memaklumkan dia bekerja di Kuala Lumpur sejak 2019 sebelum pulang ke negara asalnya pada tahun lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dia mendakwa mahu kembali semula ke negara ini melalui Thailand dengan merentas Sungai Golok.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek menjumpai sebuah telefon bimbit, jam tangan, beberapa keping wang mata wang Pakistan Rupee dan USD termasuk barangan peribadinya.

“Jumlah keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM 6,352. PATI itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya. – https://amiminerals.org/