LUMUT – Seorang warga Nepal maut manakala seorang lelaki tempatan cedera selepas lori dinaiki merempuh belakang treler di Kilometer (KM) 237.5, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara berdekatan Ayer Tawar petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 3.33 petang itu, mangsa warga asing yang bekerja sebagai kelindan maut di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan. Pemandu rakyat tempatan berusia 23 tahun cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.35 petang.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar dikejarkan ke lokasi sejauh 15km dan tiba di tempat kejadian 16 minit kemudian.
“Setiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah lori muatan telur ayam melanggar belakang treler yang diparkir di tepi jalan,”katanya hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kelindan lori telur tersepit di tempat duduk dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – https://amiminerals.org/