MUAR – Seorang lelaki Myanmar maut selepas mengalami kecederaan parah dalam pergaduhan sekumpulan lelaki warga asing dalam kejadian di bilik asrama sebuah kilang di Bakri di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, susulan kejadian itu, polis menahan empat rakan senegara yang disyaki terlibat dalam kejadian pergaduhan terbabit.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 35 tahun manakala umur mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri ditemui pada si mati.
“Keempat-empat lelaki Myanmar itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, pihaknya masih mengesan suspek yang masih bebas dan punca pergaduhan masih dalam siasatan. – https://amiminerals.org/