Lelaki maut motosikal rempuh van

WhatsApp Image 2024 11 08 at 3.56.45 PM

Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal ditunggangi bersama rakan terlibat kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 4, Jalan Lahad Datu – Tungku malam tadi.

LAHAD DATU – Seorang lelaki warga Indonesia maut selepas motosikal yang dia tunggang bersama rakan terlibat kemalangan dengan sebuah van di Kilometer 4, Jalan Lahad Datu-Tungku malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.10 malam itu, lelaki berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakan yang juga pembonceng motosikal sama parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kemalangan dengan kenderaan jenis van dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 68 tahun.

“Pemandu van bersama dua penumpang dari arah Lahad Datu ke Tungku hendak membelok masuk ke simpang sebelah kanan.

“Pada masa yang sama, sebuah motosikal yang ditunggang mangsa bersama pembonceng yang datang dari Tungku ke Lahad Datu secara tiba-tiba dipercayai terlanggar bahagian tepi sebelah kiri van terbabit.

“Kemalangan berkenaan mengakibatkan penunggang motosikal parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng parah dan dikejarkan ke Hospital Lahad Datu bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – https://amiminerals.org/