BAGAN DATUK – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar kawanan lembu yang melintas di Kilometer 24, Jalan Ferri Hutan Melintang di sini semalam.
Mangsa yang maut dalam nahas sekitar pukul 8 malam itu dikenali sebagai Mohd. Rohaizad Ahmad Zaid, 37.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, kemalangan melibatkan dua penunggang motosikal selain sebuah lori dan kereta.
Kejadian berlaku ketika dua penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Sabak Bernam ke Hutan Melintang, manakala dua kenderaan tersebut pula dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi, motosikal mangsa gagal mengelak lima ekor lembu yang melintas. Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 38 tahun cedera ringan,”katanya hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, kedua-dua pemandu berusia 29 dan 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – https://amiminerals.org/