SUNGAI PETANI – Seorang lelaki yang terjatuh dari jeti kawasan muara Sungai Muda berdekatan Pasar Bisik di Kuala Muda, dekat sini, semalam ditemui mati lemas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mayat Zubair Hassan, 30, dijumpai penduduk kampung dalam keadaan terapung di pesisir Pantai Kampung Palas, Kota Kuala Muda di Bertam, Pulau Pinang pada pukul 3 petang tadi.
Kata beliau, mayat lelaki yang masih bujang itu ditemui pada jarak kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dipercayai terjatuh.
“Pihak kita dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berkaitan penemuan mayat itu petang tadi.
“Pihak keluarga mangsa telah dihubungi dan diminta hadir ke lokasi penemuan mayat untuk membuat pengecaman sebelum mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,”katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu dilihat terjatuh dan hilang dibawa arus oleh beberapa nelayan kira-kira pukul 12.55 tengah hari semalam. – https://amiminerals.org/