RANTAU PANJANG – Seorang lelaki tidak sempat meraih keuntungan hasil jualan motosikal jenis Yamaha RXZ berharga RM20,000 yang diseludup dari Thailand selepas dicekup di pangkalan haram Yasin di sini semalam.
Lelaki tempatan yang berusia 22 tahun itu diberkas pada pukul 7.15 malam semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di lokasi tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, pihaknya ternampak suspek sedang memindahkan motosikal dari perahu ke tebing Sungai Golok di pangkalan haram itu.
“Pemeriksaan mendapati motosikal Yamaha RXZ berharga RM20,000 itu diseludup dari Thailand,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, sebelum itu, pihaknya memberkas seorang wanita berusia 25 tahun dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan enjin motosikal jenis sama di pangkalan haram tersebut.
Wanita itu dicekup pada pukul 7 malam selepas pasukan PGA menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi di pengkalan haram tersebut.
“Pemeriksaan menemukan enjin motosikal Yamaha RXZ bernilai RM20,000 disyaki dari Thailand dalam kereta tersebut.
“Enjin motosikal ini dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan. Motosikal dan enjin yang dirampas dibawa ke kompeni taktikal PGA Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – https://amiminerals.org/