Lelaki ditahan bantu siasatan penemuan mayat dalam bilik tidur

GH24 template gari sephia 5

Gambar hiasan

IPOH – Mayat seorang lelaki warga tempatan ditemui dalam sebuah bilik tidur di sebuah rumah di kawasan Pasir Puteh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian lelaki berusia 25 tahun itu disebabkan kecederaan abdomen akibat objek tumpul.

Katanya, susulan itu, tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun pada hari sama bagi membantu siasatan.

“Pada pukul 7.54 pagi semalam, pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam berkaitan seorang lelaki ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur.

“Mangsa bagaimanapun didapati telah meninggal dunia dan pemeriksaan awal pada tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati tiada kesan kecederaan akibat perlakuan jenayah,”katanya di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Abang Zainal berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – https://amiminerals.org/