Lelaki didakwa curi kabel, pandu Hilux secara berbahaya lari polis

WhatsApp Image 2025 05 13 at 5.24.12 PM

TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini. – Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO.

MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri kabel dan memandu secara berbahaya bagi mengelak ditahan polis awal bulan ini.

Tertuduh, T. Kerubahkaran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman dan Tuan Uthman Abd. Ghani.

Di hadapan Sharda, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya dan memalsukan nombor pendaftaran trak pikap jenis Toyota Hilux yang dipandunya.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad mencadangkan jaminan RM8,000 dikenakan bagi pertuduhan pertama dan RM6,000 bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan atas alasan dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Sharda membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 19 Jun depan.

Sementara itu, di hadapan Tuan Uthman, lelaki itu didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghalang penjawat awam. Dia bagaimanapun dibenarkan diikat jamin RM5,000 bagi empat pertuduhan itu.

Kosmo! pada 6 Mei lalu melaporkan dua lelaki disyaki mencuri kabel melarikan diri dengan memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Utara-Selatan sehingga merempuh empat kenderaan termasuk lori sebelum ditahan oleh Unit Kereta Peronda di Kilometer 216.8 pada pukul 5.30 pagi. – https://amiminerals.org/