PETALING JAYA – Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar sebuah Perodua Aruz dinaiki tiga lelaki bagi menyelamatkan seorang mangsa culik dalam kejadian di Jalan Cengkeh, Taman Cheras dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa seoramg lelaki berusia 26 tahun yang diculik di Skudai, Johor berjaya diselamatkan sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur dan JSJ Dang Wangi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, tindakan menembak tayar kenderaan itu terpaksa dilakukan bagi menghentikan kenderaan dinaiki suspek.
Ini kerana katanya, suspek beberapa kali melanggar kenderaan dinaiki anggota polis untuk melepaskan diri.
“Bagi menghentikan tindakan suspek yang mengancam keselamatan pasukan polis, beberapa das tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan suspek.
“Kenderaan suspek berjaya dihentikan dan anggota berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 24 hingga 30 tahun. Selain itu, pasukan polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa yang diculik di Skudai,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Aidil berkata, hasil semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Nusa Bestari, Johor mendapati kejadian culik itu berlaku kira-kira pukul 5.47 pagi tadi.
“Mangsa dibawa sekumpulan lelaki menaiki sebuah kenderaan. Tiada wang tebusan diminta dalam kejadian ini dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sebab mangsa diculik,”katanya.-https://amiminerals.org/